Rabu, Mei 03, 2017

KISAH SEMANGKUK MI MASIN ISTERI

Setiap peristiwa yang berlaku dalam kehidupan kita, tersimpan sejuta hikmah yang amat mahal nilainya. Hikmah dari setiap peristiwa itu, terkunci kemas dalam simpanan rahsia dan pengetahuan Allah SWT. Harus kita ingat, bahawa Allah tidak akan membuat sesuatu yang sia-sia tanpa ada pengajaran dan manfaatnya bagi kehidupan manusia. Tidak ada yang serba kebetulan dalam dunia ini. Kenapa berlaku kepada kita...?, sebabnya telah ada yang menetapkannya keatas kita. Barangkali hanya sedikit orang yang mampu menguak hikmah dari apa yang berlaku keatas dirinya masing-masing. Sudah tentu orang tersebut adalah orang yang memiliki sifat sabar, tenang dan merefleks secara positif setiap sesuatu yang berlaku keatas dirinya. Kadang ada yang dapat menguak hikmah dibalik peristiwa yang berlaku secara cepat, kadang ada yang lambat mencernanya, bahkan tidak kurang, ada yang langsung tidak dapat menggapai titisan hikmah dari peristiwa-peristiwa yang berlaku keatas diri mereka.

Ada sebuah kisah kecil yang inginku kongsikan pada posting kali ini. Kisah sebuah rumah tangga yang mungkin juga berlaku dalam kehidupan rumah tangga kita. Diceritakan..., sang suami adalah seorang pekerja keras. Pada suatu hari Mr. Suami tersebut, balik dari bekerja dalam keadaan kelelahan dan lapar. Sudah tentu dalam fikirannya yang masih terbeban dengan beratnya tugas di tempat kerja memikirkan segelas air minum ais dan makanan yang lazat yang dihidangkan oleh Mdm. Isteri. Namun pada saat ia sampai, Isterinya belum habis memasak di dapur. Al-maklumlah tugas dan kerja-kerja isteri di rumah jangan pernah dianggap remeh oleh suami. 

Dalam situasi demikian, menyedari suaminya sudah pulang kerja dan dalam keadaan lapar, si isteri agak merasa tertekan. Dalam kesibukannya, ia datang juga kepada suaminya, membuka pintu dengan lemparan senyum manis meskipun fikirannya memikirkan masakan di dapur yang masih belum masak. Isteri nampak wajah kelelahan di raut wajah suaminya, lalu mohon maaf ; "...abang saya minta maaf, hari ini agak terlambat masak untuk abang, kerana tadi tugas-tugas rumah banyak...". tanpa diminta, kembali isteri menawarkan ; "...kalau abang mahu saya buatkan mee segera dulu untuk abang, nanti kalau makanan dah masak, kita akan makan bersama...". Suami dengan senyum mengatakan pada isterinya ; "...boleh tak apa, kalau tidak mengganggu kerjamu di dapur...". Lalu isteri ke dapur memasakkan mee yang dimaksudkan, dapur sebelahnya ada masakan sayur yang masih belum masak. Kerana fikiran si isteri masih banyak, ikan belum digoreng, sayur belum masak, pada saat tersebut ia mendecok sesudu garam untuk dimasukkan ke dalam masakan sayurnya. Namun tanpa ia sedari tangan telah memasukkan garam tersebut ke dalam masakan mee suaminya. Setelah mee masak, lalu ia hidangkan mee tersebut kepada suaminya, "...silakan abang makan mee dulu bang..." dan ia pun bergegas kedapur untuk meneruskan tugasnya di dapur. Suaminya pun memegang sudu dan mengambil kuah mee tersebut, lantas dimasukkan ke dalam mulutnya. Suapan pertama tersebut memberikan rasa masin yang amat sangat, barangkali seakan menelan air laut. 

Menurut anda, kalau situasi itu berlaku keatas diri anda, apa tindakan yang akan anda buat. Mungkin ada yang berpendapat ; "...siram sajalah mee tu atas kepala isteri tadi.."  atau "...bagi tahu baik-baik dengannya..." atau "...tak usah dimakan mee tersebut, biar si isteri tu tahu...". Mungkin ada yang beranggapan situasi seperti ini adalah perkara kecil sahaja, namun ada yang tidak demikian. Si suami tadi yang mengetahui isterinya kelelahan, memanggil isterinya; "...sayang sini sekejap, seingat abang kita sudah lama tidak makan suap-suapan, abang rindu dan ingin menyuap sayang...". Lantas isteri yang taat itupun datang kepada suaminya. Si suami pun menyuapkan mee tadi ke mulut isterinya dengan penuh kasih sayang. Apabila isterinya merasakan mee yang dimakannya masin, lantas si isteri pun mohon maaf kepada suaminya atas kesilapannya. Perasaan bersalah mencengkam di dalam hatinya. Ia menjelaskan, garam yang sepatutnya dimasukkan ke dalam masakan sayur tadi telah dimasukkan kedalam rebusan mee si suami kerana fikirannya tidak fokus. Suami berkata kepada isterinya seolah-olah ia tidak pernah merasa mee yang masin itu sebelumnya; '...ada apa sayang...?, mungkin kamu keletihan, hari ini abang akan bantu kamu masak di dapur...". Untuk masakan makan malam hari itu sangat istimewa, disediakan secara bersama oleh kedua suami isteri tersebut. 

Itulah hikmahnya, berkat sebuah fikiran jernih dan hati yang sabar. Bayangkan seandinya si suami tidak sabar, dalam keadaan keletihan dan rasa lapar, sudah tentu akan mengeluarkan kata-kata maki dan amarah, akhirnya isteri yang merasa tertekan akan balik menjawab dan memaki. Maka akan berlaku perselisihan dan pergaduhan antara kedua-duanya. Dari perkara kecil itu mungkin akan berlaku perkara besar dan merosakkan sebuah ikatan cinta hanya kerana semangkuk mee masin.

Dalam hidup ini, Allah telah ciptakan semuanya berpasangan atau ada lawannya. Marah adalah ujian kepada sabar kita. Bermuka masam adalah ujian untuk sebuah senyuman kita. Sombong adalah ujian untuk tawadhuk, riya, ujub dan bangga diri adalah uijian untuk keikhlasan yang ada di dalam hati kita. Akhirnya harus kita sedari, sikap kita merefleks atas tiap sesuatu adalah penentu kepada apa yang akan berlaku berikutnya. Bercakap memang mudah, namun pelaksanaannya perlu perjuangan. Wallhua'lam.

by: abuhakam@mahdilamit/simfonihatiku mei2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...