Selasa, April 25, 2017

KENAPA HARUS IKHLAS...?

Ikhlas adalah sumber segala kebaikan, pintu segala kebahagiaan yang diperlukan oleh hati setiap manusia. Apapun peranan, dimanapun tempat kita, ikhlas adalah mutiara yang harus senantiasa  dijaga agar menyinari setiap amal dan perbuatan yang dilakukan. Kalau kita ingin mengetahui, segala kelebihan atau kekurangan yang ada pada kita, sebenarnya situasi yang sudah diatur oleh Allah SWT. Kadang mungkin kita berada pada situasi orang yang memberi dan kadang mungkin berada pada situasi orang yang menerima. Kedua situasi tersebut menuntut kita untuk menjadi orang yang ikhlas.

Betapa beratnya sebuah keikhlasan sehingga disebutkan bahawa ikhlas itu adalah rahsia dari rahsia Allah yang dihujamkan kedalam hati manusia. Kalaupun kebaikan atau amal yang satu kita mampu ikhlas, belum tentu untuk amal atau pekerjaan yang lainnya. Sebab ikhlas bukanlah seperti wajah yang senantiasa melekat di muka kita. Keikhlasan datang dan pergi tergantung dengan niat seseorang melakukan sesuatu perkara. Meskipun ia perkara yang baik, jika didahului dengan niat selain Allah, umpamanya demi sebuah nama, pujian dan sanjungan maka keihklasan tidak akan pernah hadir di hati pelakunya. Kerana ikhlas itu adalah "Pembersih hati daripada harapan kepada makhluk".  Ikhlas itu hadir bahkan tanpa dirasakan oleh kita bahawa kita adalah ikhlas. Jika sampai dirasakan bahawa hati itu ikhlas, maka keihklasan itu perlu kepada keikhlasan lagi.

Persoalan yang mungkin datang pada sesetengah manusia, kenapa harus ikhlas?. Atau biarkan saja perasaan itu, sebab siapa yang tahu bisikan yang ada dalam hati, yang penting wajah manis dan terpancar kesungguhan padanya. Maka itu dianggap selesai. Namun sebagai manusia yang beragama, yang berjalan atas landasan iman yang lurus, kita tidak mungkin menguburkan tujuan ikhlas sebagai pengangkat amal kita dihadapan Allah. Perasaan yang tidak ikhlas akan melahirkan seribu penyakit hati yang merosakkan seluruh amal. Sedangkan amal adalah simpanan terbaik untuk diperhitungkan dihadapan Allah kelak. Seandainya ia telah dirosakkan oleh niat selain Allah, maka apa yang tinggal untuk kita, untuk menebus jalan ke syurga Allah.          

Ya..., tidak hadirnya ikhlas dalam hati kita akan digantikan oleh sifat-sifat buruk yang lain. Apabila tidak ikhlas maka akan hadir sifat riya', apabila tidak ikhlas maka akan datang perasaan ujub, apabila tidak ikhlas maka akan tumbuh sifat-sifat sum'ah, takabbur dan sifat-sifat mazmumah yang lain. Bagaimana mungkin kita berikan sisa dari amal kita kepada Allah, yang niatnya sudah ditujukan dan dipersembahkan untuk mendapatkan pujian manusia. Allah tidak akan menerimanya, maka mintalah balasan kepada siapa kita niatkan pujian darinya.

Tatkala kita berbuat kebaikan, tidak usahlah diceritakan kepada orang lain. Cukuplah diri kita dan Allah yang tahu atau orang-orang yang pernah mengetahuinya. Namun kebanyakan dari manusia suka berbuat demikian. Barangkali takut orang tidak tahu dia hebat, takut orang tidak mengetahui jasa dan kebaikan-kebaikannya. Sayang kan, amal yang sepatutnya dicatat sebagai amal yang mendapat balasan kebaikan dari Allah, akhirnya bagaikan tanah diatas batu yang disiram hujan lebat. Hilang semuanya.

Orang yang tidak ikhlas hanya akan mendapatkan rasa bangga terhadap diri. Mendabik dada merasa hebat, merasa baik dan merasa mulia sehingga akan cenderung meremehkan orang lain. Sehingga akan cenderung merendahkan orang lain. Senantiasa terdetik dihatinya, "...seandainya bukan aku yang buat, pasti tidak mampu membuatnya..." atau "...hebat juga aku, orang lain mana mampu membuat seperti ini..". Bahkan ia ingin namanya disebut-sebut oleh orang lain. Susah kan?, bagaimana untuk memperoleh kebahagiaan hati, malahan akan merosakkan hatinya. Sebab ia tidak mendapatkan hikmah dalam hatinya. Ia tidak akan mampu mengutip pengajaran dari setiap apa yang berlaku di depan matanya. Maka berusahalah untuk senantiasa menjaga keikhlasan kita. Yakinlah akan ungkapan Al-Imam Al-Ghazali :

"Ad-dunya mazra'atul akhirah".
Artinya : "Dunia adalah ladang akhirat.

Jadilah orang yang bijak, tidak mengejar keinginan dunia yang sifatnya sementara, akan tetapi ingin mendapatkan redho dan penerimaan Allah Azzawajalla atas semua amal dan kebaikan yang telah di lakukan di dunia. Seandainya pun kita mendapat kelebihan dan pujian di dunia, itu adalah bonus dari Allah. Sebab Allah Maha mengetahui segala-sagalanya. Wallahua'lam.

by: abuhakam@mahdilamit#april2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...