Rabu, Mei 03, 2017

KISAH SEMANGKUK MI MASIN ISTERI

Setiap peristiwa yang berlaku dalam kehidupan kita, tersimpan sejuta hikmah yang amat mahal nilainya. Hikmah dari setiap peristiwa itu, terkunci kemas dalam simpanan rahsia dan pengetahuan Allah SWT. Harus kita ingat, bahawa Allah tidak akan membuat sesuatu yang sia-sia tanpa ada pengajaran dan manfaatnya bagi kehidupan manusia. Tidak ada yang serba kebetulan dalam dunia ini. Kenapa berlaku kepada kita...?, sebabnya telah ada yang menetapkannya keatas kita. Barangkali hanya sedikit orang yang mampu menguak hikmah dari apa yang berlaku keatas dirinya masing-masing. Sudah tentu orang tersebut adalah orang yang memiliki sifat sabar, tenang dan merefleks secara positif setiap sesuatu yang berlaku keatas dirinya. Kadang ada yang dapat menguak hikmah dibalik peristiwa yang berlaku secara cepat, kadang ada yang lambat mencernanya, bahkan tidak kurang, ada yang langsung tidak dapat menggapai titisan hikmah dari peristiwa-peristiwa yang berlaku keatas diri mereka.

Ada sebuah kisah kecil yang inginku kongsikan pada posting kali ini. Kisah sebuah rumah tangga yang mungkin juga berlaku dalam kehidupan rumah tangga kita. Diceritakan..., sang suami adalah seorang pekerja keras. Pada suatu hari Mr. Suami tersebut, balik dari bekerja dalam keadaan kelelahan dan lapar. Sudah tentu dalam fikirannya yang masih terbeban dengan beratnya tugas di tempat kerja memikirkan segelas air minum ais dan makanan yang lazat yang dihidangkan oleh Mdm. Isteri. Namun pada saat ia sampai, Isterinya belum habis memasak di dapur. Al-maklumlah tugas dan kerja-kerja isteri di rumah jangan pernah dianggap remeh oleh suami. 

Dalam situasi demikian, menyedari suaminya sudah pulang kerja dan dalam keadaan lapar, si isteri agak merasa tertekan. Dalam kesibukannya, ia datang juga kepada suaminya, membuka pintu dengan lemparan senyum manis meskipun fikirannya memikirkan masakan di dapur yang masih belum masak. Isteri nampak wajah kelelahan di raut wajah suaminya, lalu mohon maaf ; "...abang saya minta maaf, hari ini agak terlambat masak untuk abang, kerana tadi tugas-tugas rumah banyak...". tanpa diminta, kembali isteri menawarkan ; "...kalau abang mahu saya buatkan mee segera dulu untuk abang, nanti kalau makanan dah masak, kita akan makan bersama...". Suami dengan senyum mengatakan pada isterinya ; "...boleh tak apa, kalau tidak mengganggu kerjamu di dapur...". Lalu isteri ke dapur memasakkan mee yang dimaksudkan, dapur sebelahnya ada masakan sayur yang masih belum masak. Kerana fikiran si isteri masih banyak, ikan belum digoreng, sayur belum masak, pada saat tersebut ia mendecok sesudu garam untuk dimasukkan ke dalam masakan sayurnya. Namun tanpa ia sedari tangan telah memasukkan garam tersebut ke dalam masakan mee suaminya. Setelah mee masak, lalu ia hidangkan mee tersebut kepada suaminya, "...silakan abang makan mee dulu bang..." dan ia pun bergegas kedapur untuk meneruskan tugasnya di dapur. Suaminya pun memegang sudu dan mengambil kuah mee tersebut, lantas dimasukkan ke dalam mulutnya. Suapan pertama tersebut memberikan rasa masin yang amat sangat, barangkali seakan menelan air laut. 

Menurut anda, kalau situasi itu berlaku keatas diri anda, apa tindakan yang akan anda buat. Mungkin ada yang berpendapat ; "...siram sajalah mee tu atas kepala isteri tadi.."  atau "...bagi tahu baik-baik dengannya..." atau "...tak usah dimakan mee tersebut, biar si isteri tu tahu...". Mungkin ada yang beranggapan situasi seperti ini adalah perkara kecil sahaja, namun ada yang tidak demikian. Si suami tadi yang mengetahui isterinya kelelahan, memanggil isterinya; "...sayang sini sekejap, seingat abang kita sudah lama tidak makan suap-suapan, abang rindu dan ingin menyuap sayang...". Lantas isteri yang taat itupun datang kepada suaminya. Si suami pun menyuapkan mee tadi ke mulut isterinya dengan penuh kasih sayang. Apabila isterinya merasakan mee yang dimakannya masin, lantas si isteri pun mohon maaf kepada suaminya atas kesilapannya. Perasaan bersalah mencengkam di dalam hatinya. Ia menjelaskan, garam yang sepatutnya dimasukkan ke dalam masakan sayur tadi telah dimasukkan kedalam rebusan mee si suami kerana fikirannya tidak fokus. Suami berkata kepada isterinya seolah-olah ia tidak pernah merasa mee yang masin itu sebelumnya; '...ada apa sayang...?, mungkin kamu keletihan, hari ini abang akan bantu kamu masak di dapur...". Untuk masakan makan malam hari itu sangat istimewa, disediakan secara bersama oleh kedua suami isteri tersebut. 

Itulah hikmahnya, berkat sebuah fikiran jernih dan hati yang sabar. Bayangkan seandinya si suami tidak sabar, dalam keadaan keletihan dan rasa lapar, sudah tentu akan mengeluarkan kata-kata maki dan amarah, akhirnya isteri yang merasa tertekan akan balik menjawab dan memaki. Maka akan berlaku perselisihan dan pergaduhan antara kedua-duanya. Dari perkara kecil itu mungkin akan berlaku perkara besar dan merosakkan sebuah ikatan cinta hanya kerana semangkuk mee masin.

Dalam hidup ini, Allah telah ciptakan semuanya berpasangan atau ada lawannya. Marah adalah ujian kepada sabar kita. Bermuka masam adalah ujian untuk sebuah senyuman kita. Sombong adalah ujian untuk tawadhuk, riya, ujub dan bangga diri adalah uijian untuk keikhlasan yang ada di dalam hati kita. Akhirnya harus kita sedari, sikap kita merefleks atas tiap sesuatu adalah penentu kepada apa yang akan berlaku berikutnya. Bercakap memang mudah, namun pelaksanaannya perlu perjuangan. Wallhua'lam.

by: abuhakam@mahdilamit/simfonihatiku mei2017

Selasa, April 25, 2017

KENAPA HARUS IKHLAS...?

Ikhlas adalah sumber segala kebaikan, pintu segala kebahagiaan yang diperlukan oleh hati setiap manusia. Apapun peranan, dimanapun tempat kita, ikhlas adalah mutiara yang harus senantiasa  dijaga agar menyinari setiap amal dan perbuatan yang dilakukan. Kalau kita ingin mengetahui, segala kelebihan atau kekurangan yang ada pada kita, sebenarnya situasi yang sudah diatur oleh Allah SWT. Kadang mungkin kita berada pada situasi orang yang memberi dan kadang mungkin berada pada situasi orang yang menerima. Kedua situasi tersebut menuntut kita untuk menjadi orang yang ikhlas.

Betapa beratnya sebuah keikhlasan sehingga disebutkan bahawa ikhlas itu adalah rahsia dari rahsia Allah yang dihujamkan kedalam hati manusia. Kalaupun kebaikan atau amal yang satu kita mampu ikhlas, belum tentu untuk amal atau pekerjaan yang lainnya. Sebab ikhlas bukanlah seperti wajah yang senantiasa melekat di muka kita. Keikhlasan datang dan pergi tergantung dengan niat seseorang melakukan sesuatu perkara. Meskipun ia perkara yang baik, jika didahului dengan niat selain Allah, umpamanya demi sebuah nama, pujian dan sanjungan maka keihklasan tidak akan pernah hadir di hati pelakunya. Kerana ikhlas itu adalah "Pembersih hati daripada harapan kepada makhluk".  Ikhlas itu hadir bahkan tanpa dirasakan oleh kita bahawa kita adalah ikhlas. Jika sampai dirasakan bahawa hati itu ikhlas, maka keihklasan itu perlu kepada keikhlasan lagi.

Persoalan yang mungkin datang pada sesetengah manusia, kenapa harus ikhlas?. Atau biarkan saja perasaan itu, sebab siapa yang tahu bisikan yang ada dalam hati, yang penting wajah manis dan terpancar kesungguhan padanya. Maka itu dianggap selesai. Namun sebagai manusia yang beragama, yang berjalan atas landasan iman yang lurus, kita tidak mungkin menguburkan tujuan ikhlas sebagai pengangkat amal kita dihadapan Allah. Perasaan yang tidak ikhlas akan melahirkan seribu penyakit hati yang merosakkan seluruh amal. Sedangkan amal adalah simpanan terbaik untuk diperhitungkan dihadapan Allah kelak. Seandainya ia telah dirosakkan oleh niat selain Allah, maka apa yang tinggal untuk kita, untuk menebus jalan ke syurga Allah.          

Ya..., tidak hadirnya ikhlas dalam hati kita akan digantikan oleh sifat-sifat buruk yang lain. Apabila tidak ikhlas maka akan hadir sifat riya', apabila tidak ikhlas maka akan datang perasaan ujub, apabila tidak ikhlas maka akan tumbuh sifat-sifat sum'ah, takabbur dan sifat-sifat mazmumah yang lain. Bagaimana mungkin kita berikan sisa dari amal kita kepada Allah, yang niatnya sudah ditujukan dan dipersembahkan untuk mendapatkan pujian manusia. Allah tidak akan menerimanya, maka mintalah balasan kepada siapa kita niatkan pujian darinya.

Tatkala kita berbuat kebaikan, tidak usahlah diceritakan kepada orang lain. Cukuplah diri kita dan Allah yang tahu atau orang-orang yang pernah mengetahuinya. Namun kebanyakan dari manusia suka berbuat demikian. Barangkali takut orang tidak tahu dia hebat, takut orang tidak mengetahui jasa dan kebaikan-kebaikannya. Sayang kan, amal yang sepatutnya dicatat sebagai amal yang mendapat balasan kebaikan dari Allah, akhirnya bagaikan tanah diatas batu yang disiram hujan lebat. Hilang semuanya.

Orang yang tidak ikhlas hanya akan mendapatkan rasa bangga terhadap diri. Mendabik dada merasa hebat, merasa baik dan merasa mulia sehingga akan cenderung meremehkan orang lain. Sehingga akan cenderung merendahkan orang lain. Senantiasa terdetik dihatinya, "...seandainya bukan aku yang buat, pasti tidak mampu membuatnya..." atau "...hebat juga aku, orang lain mana mampu membuat seperti ini..". Bahkan ia ingin namanya disebut-sebut oleh orang lain. Susah kan?, bagaimana untuk memperoleh kebahagiaan hati, malahan akan merosakkan hatinya. Sebab ia tidak mendapatkan hikmah dalam hatinya. Ia tidak akan mampu mengutip pengajaran dari setiap apa yang berlaku di depan matanya. Maka berusahalah untuk senantiasa menjaga keikhlasan kita. Yakinlah akan ungkapan Al-Imam Al-Ghazali :

"Ad-dunya mazra'atul akhirah".
Artinya : "Dunia adalah ladang akhirat.

Jadilah orang yang bijak, tidak mengejar keinginan dunia yang sifatnya sementara, akan tetapi ingin mendapatkan redho dan penerimaan Allah Azzawajalla atas semua amal dan kebaikan yang telah di lakukan di dunia. Seandainya pun kita mendapat kelebihan dan pujian di dunia, itu adalah bonus dari Allah. Sebab Allah Maha mengetahui segala-sagalanya. Wallahua'lam.

by: abuhakam@mahdilamit#april2017

Rabu, April 12, 2017

TIDAK PERLU DUIT TAPI SUSAH DILAKUKAN



Manusia adalah ciptaan Allah S.W.T yang sangat istimewa. Perhatikanlah seluruh tubuh badan kita, dari hujung rambut sampai hujung kaki, kita dapat melihat betapa sempurnya ciptaan Allah ini. Belum lagi kita melihat dalaman manusia yang sangat kompleks, dengan fungsi urat dan saraf yang pelbagai dan jika masalah salah satu darinya maka akan melemahkan atau merosakkan fungsi yang lainnya. Seandainya kita menyelam dari sudut psikologi pula, kita akan menemukan berbagai pola tingkah laku manusia dari sudut pandang yang berbeza. Dari situ maka lahirlah beberapa tokoh psikologi seperti Ibnu Rusyd, An-Nasyaburi, Al-Farabi, Jhon Broade, Jean Peaget dan berbagai tokoh psikologi yang terkemuka dengan kajian-kajian berkaitan dengan kejiwaan manusia, kerana uniknya manusia.     

Singkatnya, manusia memang memiliki berbagai karakter yang lahir dari aliran kejiwaan yang berbeza pula. Karekter tersebut sudah pasti mewarnai gaya atau amalan kehidupan seseorang. Maka kita akan menemukan ada manusia dengan kelebihan banyak bercakap, ada yang pendiam, ada yang murah senyum dan bahkan bermacam-macam lagi sikap lain. Betul kata pepatah melayu "banyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragam". Oleh kerana itu, makin banyak kita bergaul maka kita akan menemukan makin banyak kerenah dan sikap manusia.

Namun pada posting kali ini, saya tidaklah membahas sesuatu yang kompleks seperti yang ada pada tubuh manusia, kerana bukan pakarnya. Tetapi masih berkisar dengan kebiasaan dan sifat manusia, iaitu sesuatu hal yang selalu kita terlepas pandang akannya. Meskipun sesuatu itu tidak memerlukan kita untuk menyeluk saku bagi membayarnya. Bahkan dari hal tersebut selalunya kita akan dapat banyak manfaat dan kebaikan darinya. Oleh itu saya sebut pada tajuk posting sebagai "Tidak Perlu Duit Tapi Susah Dilakukan". 

Percaya atau tidak kadang kita susah untuk mengucapkan terima kasih atas bantuan atau kebaikan yang telah diberikan oleh orang lain kepada kita. Pada hal terima kasih tidak perlu berbayar kan?, "just say thank you" atau "syukran" atau "xie xie" atau "terima kasih" atau "matur suwun" atau dengan lain-lain ungkapan dengan maksud yang sama. Bayangkan, betapa besar kebaikan yang kita dapatkan dari sebuah ungkapan sederhana ini. Disamping orang yang kita berikan terima kasih keatasnya merasa suka dan bahagia, kita sendiri akan dinilai sebagai seorang yang berbudi bahasa. Ucapan terima kasih tidak perlu wang kan?, tetapi itulah kadang kita berat mengucapkannya. Ungkapan terima kasih yang terbaik adalah;
"Semoga Allah akan membalas kamu dengan banyak kebaikan, dan semoga Allah akan memberikan ganjaran kepada kamu dengan balasan yang terbaik."


Percaya atau tidak kita kadang susah untuk memberikan salam dan sapaan kepada orang lain. Biasanya kita mengharapkan orang lain menyapa kita terlebih dahulu. Sehingga ada sesetangah institusi meletakkan motto di pejabat mereka contohnya "Amalan 3S; Senyum, Salam, sapa". Kenapa sampai demikian, kerana beratnya sesetengah dari kita memberikan salam dan sapaan kepada orang lain. Sedangkan sapaan dan salam itu cukup sedrhana, "hai", "Hello", "bah..., mbah yan" (bahasa vae Bintulu) dan macam-macam lagi bentuknya. Apatah lagi kita ungkapkan dengan "Assalamualaikum", di dalamnya terkandung doa dan kebaikan bagi yang menerima ucapan, dan kembali beroleh kebaikan keatas orang yang memberikan salam jika si penerima membalas dengan "Waalikumussalam". Indah kan...?. Dengan sapaan juga, kita telah memberikan gambaran baik orang lain terhadap kita. Dinilai sebagai peramah, bahkan kalau kita di dalam sebuah institusi, maka institusi kita disebut sebagai ramah pelanggan. Bayarkah sebuah sapaan?. Percuma kan, tapi berat kadang kita nak menyapa orang lain. 

Percaya atau tidak, kita kadang susah memberikan senyuman kepada orang lain. Padahal sering kita dengar ungkapan "senyum adalah sedekah". Bahkan pelik, kadang kita senyum dengan orang lain tetapi dibalas dengan muka otot keras. Padahal senyum tidak perlu bayar bahkan boleh menambahkan seri pada muka jika kita senyum. 

Inilah antara beberapa perkara kecil yang memiliki kesan besar yang selalu kita lupakan dan berat untuk melakukannya. Kalau kita dalam keadaan kehausan, sebotol air putih terpaksa kita beli dengan harga RM1 ataupun lebih untuk menghilangkan haus. Tetapi ungkapan terima kasih, sapaan salam, dan lemparan senyum kita dapat merungkaikan seribu persepsi yang ada pada hati orang lain. Awalnya mungkin marah, tetapi setelah melihat sapaan, senyum dan terima kasih kita, keadaan mungkin akan berubah dan bercerita lain. Cuba-cubalah  untuk selalu senyum, menyapa dan selalu berterima kasih. Wallahua'lam.

Ahad, April 09, 2017

MTQ; TAJWID, INDAHKAN BACAAN KITA

Hakim MTQ Petronas 2017
Bangunan Martabat
Alhamdulillah, semalam telah selesai tugas di MTQ Peringkat Bahagian Bintulu. Tugas kali ini adalah sebagai pengira markah peserta dan telahpun dikira dengan baik dan benar. MTQ maksudnya "Majlis Tadarus Al-Quran". Program terbesar yang dilaksankan dibawah Kelolaan Sektor Pendidikan Islam (Peringkat Jabatan Pendidikan Negeri), Unit Pendidikan Islam (Peringkat PPD) dan turun kepada Panitia Pendidikan Islam (Peringkat Sekolah) ini adalah program yang dilaksanakan saban tahun. 


Cantik Kad Nama
Tujuan program ini setidaknya memberi peluang kepada murid-murid Islam untuk mengetengahkan kebolehan dalam berbagai bidang yang dipertandingkan. Guru-guru Pendidikan Islam pula dapat mencungkil bakat murid-murid dan pelajar bagi mengasah kebolehan yang mereka miliki. Bahagian-bahagian yang dipertandingkan adalah, Tilawah Al-Quran, Hafazan Surah-Surah Lazim, Syarahan, Bercerita dan Pertandingan Nasyid atau lagu-lagu dakwah.

Bersama Hakim Lain
Qori Kebangsaan
Ust. Awg Omar
Pada hari ini pula, diberi amanah dan tanggungjawab untuk menjadi Hakim Tajwid bagi Majlis Tilawah Al-Quran Petronas 2017. Tajwid dalam bacaan quran sangat penting untuk memastikan bacaan dan sebutan itu sesuai dan menepati kehendak bahasa al-Quran itu sendiri. Oleh kerana itu kita harus waspada terhadap kesalahan-kesalahan ketika membaca al-quran. Walaupun tuntutan untuk mempelajari ilmu tajwid itu tidak wajib hukumnya menurut sesetangah kalangan, namun sebagai ummat Islam yang kitab pegangannya al-Quran seharusnya mempunyai keinginan kuat untuk mempelajari ilmu tajwid. Namun harus kita ingat juga, kalau tidak membacanya dengan tajwid, maka boleh mendatangkan dosa keatas kita. Imam Ibnu Jazari mengatakan : 

"Membaca al-Quran dengan tajwid hukumnya adalah wajib, barangsiapa yang tidak membacanya dengan tajwid maka hukumnya adalah berdosa, kerana dengan tajwidlah Allah menurunkan al-Quran, dan dengan demikian pula al-Quran sampai kepada kita dari-Nya.."

Kita melihat kepada tujuan ilmu tajwid itu sendiri adalah 
"Sebagai penghias bacaan, iaitu dengan memberikan hak-hak, urutan dan tingkatan yang benar kepada setiap huruf, dan mengembalikan setiap huruf pada tempat keluarnya dan pada asalnya, dan menyesuaikan huruf-huruf tersebut pada setiap keadaanya, dan membenarkan lafaznya dan memperindahkan pelafalnya pada setiap konteks, menyempurnakan bentuknya, tanpa berlebihan dan tanpa meremehkan.
(An-Nasyr Fil Qira'at Al-'Asyr 1/212)

Maka dari yang demikian, indahkanlah bacaan al-Quran kita dengan bacaan yang bertajwid. Allah telah berfirman di dalam Al-Quran itu sendiri :


"Warattilil quraana tartiila"
Maksudnya; "Dan bacalah al-Quran itu dengan perlahan/tartil/bertajwid". (al-Furqan : 13)

Semoga generasi kita seterusnya, tetap mencintai al-Quran dan tetap menjadikan pendidikan al-Quran sebagai pendidikan utama disamping mempelajari ilmu-ilmu keduniaan yang lain. Ketahuilah al-Quran yang kita baca akan datang kepada kita kelak dan akan memberikan syafaat kepada pembacanya. Cintailah al-Quran. Bacalah al-Quran. Beramallah dengan al-Quran.

Jumaat, April 07, 2017

MENGHARAPKAN YANG TERBAIK BUAT ANAK

Semoga Anak Soleh Solehah
Anak adalah anugerah yang menjadi dambaan pasangan yang sudah berkahwin. Hadirnya anak dalam kehidupan berumahtangga, menjadi seri dalam warna-warni kehidupan. Segala kasih sayang yang dulunya hanya antara suami dan isteri, namun ketika hadirnya anak diantara keduanya, masing-masing mencurahkan kasih sayang tersebut sesuai dengan cara masing-masing kepada anak. Dalam ketegasan sang ayah misalnya, tependam seribu kasih yang kadang tidak diungkapkan dengan belai manja. Dalam kelembutan ibu yang mengendong dan mendodoikan selalu diiringi doa dan harapan agar anak tumbuh dan membesar menjadi manusia yang terbaik antara yang terbaik.

Namun mendidik anak bukanlah semudah harapan dan impian yang berlegar di fikiran kita. Pendidikan anak adalah tarbiyah yang harusnya berterusan mengikut tahap dan fasa perkembangan anak. Tujuannya tidak lain, agar pendidikan itu sesuai dan menepati tahap umur anak-anak itu. Oleh itu begitu banyak teori-teori parenting yang ditulis bahkan di bengkelkan dimana-mana. Taip sahaja keyword di mesin pencarian google, maka anda akan menemui puluhan bahkan ratusan entri yang ditulis berkaitan teori pendidikan anak.  

Perumpamaan yang diberikan oleh Rasulullah sungguh sederhana. Rasullah mengumpakan anak bagaikan kain putih yang bersih, sementara ibu dan ayahnyalah yang bertanggungjawab memberikan warna-warna terhadap kain putih, iaitu anak tersebut. Maknanya, jangan pernah kita berharap kuning pada kain putih kita kalau di tangan kita hitam. Demikian juga sebaliknya, jangan pernah berharapkan anak baik kalau kedua orang tuanya jauh dari sifat-sifat yang baik. Sebab isyarat dari Rasulullah adalah, anak tumbuh dan berkembang mengikut apa yang ia lihat, dengar dan cermati dari kita sebagai ibu dan ayah. Dalam bahasa agama disebut sebagai "biah hasanah" atau lingkungan yang baik. Sedangkan pelengkap bagi mewujudkan lingkungan yang baik itu perlu ada "istiqomah" atau berterusan. Mampukah kita?. Sudah tentu kita merasa berat kan.

Melihat dari sudat pandang kita sebagai manusia sudah tentu kita merasakan berat. Dengan seribu kekurangan yang ada pada kita sebagai manusia, yang diurus juga manusia, iaitu anak kita. Akhirnya dari mana kita akan memperolehi kekuatan kalau bukan dari yang mengciptakan kita semua yakni Allah SWT. Doa kita sebagai ibu..., sebagai ibu..., sebagai ibu..., sebagai ayah adalah senjata yang paling ampuh dan berkesan. Namun semuanya harus bermula dari sebuah usaha. Setakat mana keberkesanannya kita serahkan kepada yang Maha Mengetahui dan menentukan iaitu Allah SWT.

Anakku Action Song Peringkat Negeri 2014
Alahmdulillah hingga saat ini, aku dikurniakan tiga orang cahaya mata, dua lelaki dan satu perempuan. Memang tidak mudah mendidik anak. Kadang dihati kita, ada delima dengan keputusan kita terhadap anak kita. Contohnya dalam memberikan denda pada saat mereka melakukan kesalahan. Betulkah tindakan begini...?, atau bagaimana seharusnya...?. Namun apapun tetap dijalankan, yang penting kita punya alasan yang kukuh dan tahu sebab akibatnya.

Anakku tidak lah sehebat prestasi anak orang lain. Namun mereka tekun dan berkeinginan tinggi, itu sudah cukup menjadi modal untuk kecemerlangan mereka suatu saat nanti. Doaku dan isteri juga tidak akan pernah putus untuk mereka. Perjalanan mereka masih panjang. Maknanya jalan mereka untuk mengukir prestasi masih jauh kedepan. Pendapatku dan isteri sederhana, tidak terlalu memaksa untuk mereka begini dan begitu. Aku dulupun bukanlah orang yang cemerlang akademik atau dalam bidang-bidang lain, akan tetapi punya keinginan dan tekad kuat. Buat aku, Kukuhkan diri mereka dengan asas-asas agama, aqidah, akhlak dan mengaji. Terima kasihku buat isteri tercinta, kerana tekun mengajarkan anak-anakku mengaji sehingga mereka dapat membaca al-Quran dengan baik.

Tahun ini anakku yang sulung tahun enam, maknanya tahun ini ia menduduki peperiksaan UPSR. "Nak.., ummi dan abi mendoakan kebaikan buat mu. Berbuatlah semampumu, abi tahu dihati kecilmu ingin membuat yang terbaik." Ketahuilah tidak seorangpun ibu dan ayah tidak berkeinginan untuk melihat kejayaan anaknya. Semoga semua anak kita cemerlang dunia dan akhirat. 

Khamis, April 06, 2017

IKHLASNYA KASIH IBUKU


Di dalam sebuah karyanya, Hamidah Sulaiman menulis bahawa “...Walaupun  wanita sering dikaitkan dengan lambang kelemahan ataupun petanda kekurangan oleh sesetangah pihak, namun kita tidak dapat menafikan peranan penting mereka dalam melahirkan dan membesarkan individu...”, akhirnya beliau merumuskan individu itu seterusnya tumbuh kembang menjadi insan dengan kelebihan yang berbagai. Semuanya bermula dari seorang ibu. Hakikat ini tidak seorang pun yang mampu membantah kerana masing-masing kita kenal sosok seorang ibu.



Sebab itu Islam meletakkan penghormatan yang sangat tinggi terhadap ibu, ummi, emak, mama atau apapun panggilannya. Sebagaimana dalam sebuah hadist Nabi Saw : Dari Abu Hurairah radhiyallaahu ‘anhu, belia berkata, “Seseorang datang kepada Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam dan berkata, ‘Wahai Rasulullah, kepada siapakah aku harus berbakti pertama kali?’ Nabi shalallaahu ‘alaihi wasallam menjawab, ‘Ibumu!’ Dan orang tersebut kembali bertanya, ‘Kemudian siapa lagi?’ Nabi shalallaahu ‘alaihi wasallam menjawab, ‘Ibumu!’ Orang tersebut bertanya kembali, ‘Kemudian siapa lagi?’ Beliau menjawab, ‘Ibumu.’ Orang tersebut bertanya kembali, ‘Kemudian siapa lagi,’ Nabi shalallahu ‘alaihi wasallam menjawab, ‘Kemudian ayahmu.'” (HR. Bukhari no. 5971 dan Muslim no. 2548)

Penghormatan tersebut bukan tanpa alasan, akan tetapi Rasulullah SAW melihat begitu kental dan besarnya pengorbanan ibu bahkan khidmatnya terhadap anak-anaknya yang tidak pernah berhenti. Mula pada saat mengandung bahkan sehingga anak-anak berumah tanggapun masih lagi bergantung kepada sosok seorang ibu. Ketika dalam kandungan, ibu membawa beratnya kandungannya kesana kemari tanpa dapat dilepaskan walau sesaat. Dalam keadaan sakit demam, beban kandungan tetap dibawa. Belum lagi dengan pergerakan yang terbatas, dengan hati yang senantiasa cemas, risau bayi yang dikandung tidak sihat sehingga nantinya keguguran. Beratnya tugas dan tanggungjawab sebagai ibu rumahtangga tetap ibu jalani. Memasak, mencuci baju dan pinggan mangkuk bahkan mengurus anak-anak yang lain tetap dijalani dengan penuh pengorbanan. Bahkan tidak jarang sosok seorang ibu adalah seorang pekerja. Ada yang bekerja di pejabat, dikilang bahkan ada yang bekerja diladang dan menjadi kuli upahan demi untuk memastikan keperluan anak-anak tetap terpenuhi, meringankan beban sang ayah. Hati ibu tidak pernah terlepas dari memikirkan anak-anaknya, dan tidak jarang ibu merasakan anak-anaknya masih kecil meskipun sudah dewasa dek kerana begitu mendalam kepeduliannya kepada anak. Siapakah yang lebih besar pengorbanannya dari seorang ibu?.

Tidak keterlaluan jika agama dan nilai kemanusiaan meletakkan, buruknya akhlak anak terhadap ibu adalah sebuah kedurhakaan. Apalagi kalau sampai menyakiti ibu. Kalaupun anak dengan semua kekayaannya diberikan kepada ibu, nescaya tidak akan dapat menebus nilai kasih sayang bahkan nilai yang tidak dapat kita ungkapkan dari seluruh jasa seorang ibu. Ketahuilah, Jasa ibu tidak akan pernah kita dapat ukur dengan harta. Kalau itu ukurannya sudah tentu kita semua tumbuh besar tetapi tidak dengan kasih sayang, keperluan jasmani kita terpenuhi tetapi rohani kita kering, tidak pernah merasa belaian kasih, manja dari seorang ibu. Apakah belaian kasih sayang, dakapan manja itu mampu kita beli?. Ketika kita ketakutan dan merasa tidak selamat, ibu yang menenangkan dan memberikan rasa aman dan selamat. Ketika kita sedih dan terpukul, ibu juga yang memberikan pelukan semangat. Apakah semua itu dapat kita tukarkan dengan harta.

Namun kadang jasa ibu begitu murah dihati kita. Seseorang yang baru kita kenal dan sangat baik terhadap kita, kadang kita lebih utamakan dari seorang ibu. Apalah jasa orang lain berbanding jasa ibu kita. Belum tentu kebaikan orang lain seikhlas baiknya seorang ibu. Utamakan ibu kita. Hormati dan hargai ibu kita. Berikan penghormatan dan balaslah kebaikan ibu kita. Kasihnya sampai ke akhirat. Dambakanlah doanya buat kebaikan dan keberkatan kita. Tidak ada doa yang paling ikhlas dan tanpa hijab, melainkan doa ibu kita.

Sudah tentu kita ingat bagaimana kisah seorang ibu kepada seorang pemuda yang bernama Al-Qomah. Sebetulnya Al-Qomah tidaklah terlalu jahat terhadap ibunya. Hubungannya dan tanggungjawabnya dengan Allah dipenuhi dengan baik. Cuma ada satu kekurangannya. Mari kita mengambil iktibar bersama ;


Dikisahkan dalam satu riwayat bahwa pada masa Rasulullah Saw ada seorang pemuda yang bernama Al-Qomah. Dia seorang pemuda yang giat beribadah, rajin sholat, banyak puasa dan suka bershodaqoh. 

Suatu hari dia sakit keras, maka istrinya mengirim utusan kepada Rasulullah Saw untuk memberitahukan kepada beliau Saw tentang keadaan Al-Qomah. Maka Rasulullah Saw kemudian mengutus Ammar bin Yasir, Shuhaib ar Rumi dan Bilal bin Robah Ra untuk melihat keadaannya.

Rasulullah bersabda, “Pergilah ke rumah Al-Qomah dan talqinlah untuk mengucapkan Laa ilaha Illallah.” 

Akhirnya mereka berangkat ke rumahnya. Ternyata pada saat itu Al-Qomah sudah dalam keadaan naza’. Maka segeralah mereka mentalqinnya, tetapi ternyata lisan Al-Qomah tidak bisa mengucapkan Laa Ilaha Illallah. 

Langsung saja mereka laporkan kejadian ini pada Rasulullah Saw. Beliau bertanya, ”Apakah dia masih mempunyai kedua orang tua?” Ada yang menjawab, ”Ada, wahai Rasulullah, dia masih mempunyai seorang ibu yang sudah tua renta.” 

Maka Rasulullah Saw mengirim utusan untuk menemuinya, dan beliau berpesan kepada utusan tersebut, ”Katakan kepada ibunya Al-Qomah, jika dia masih mampu untuk berjalan menemui Rasulullah, maka datanglah, namun jika tidak, maka biarlah Rasulullah yang datang menemuinya.” 

Tatkala utusan itu sampai ke tempat ibunya Al-Qomah, dan pesan beliau telah disampaikan, maka dia berkata, ”Sayalah yang lebih berhak untuk mendatangi Rasulullah Saw.” Maka dia pun memakai tongkat dan berjalan mendatangi Rasulullah Saw. Sesampainya di rumah Rasulullah, maka dia mengucapkan salam dan Rasulullah pun menjawab salamnya, lalu Rasulullah, ”Wahai ibu Al-Qomah, jawablah pertanyaanku dengan jujur. Sebab jika engkau berbohong maka akan datang wahyu dari Allah azza wa jalla yang akan memberitahukan (hal itu) kepadaku.

Bagaimana sebenarnya keadaan putramu Al-Qomah?” Sang ibu menjawab, ”Wahai Rasulullah, dia rajin  mengerjakan shalat, banyak puasa, dan senang bersedekah.” Lalu Rasulullah bertanya, ”Lalu bagaimana perasaanmu terhadapnya?” Dia menjawab, ”Saya marah kepadanya wahai Rasulullah.” Rasulullah bertanya lagi, “Kenapa?” Dia menjawab,”Wahai Rasulullah, dia lebih mengutamakan istrinya dibandingkan saya, dan dia pun durhaka kepadaku.”

Maka bersabda, ”Sesungguhnya kemarahan sang ibu telah menghalangi lisan Al-Qomah sehingga tidak bisa mengucapkan syahadat.” Kemudian beliau bersabda, ”Wahai Bilal, pergilah dan kumpulkan kayu bakar yang banyak.” Si Ibu bertanya,”Wahai Rasulullah, apa yang akan engkau lakukan.” Beliau menjawab, ”Saya akan membakarnya dihadapanmu.” Dia menjawab, ”Wahai Rasulullah, saya tidak tahan apabila engkau membakar anakku dihadapanku.” Maka Rasulullah menjawab, ”Wahai ibu Al-Qomah, sesungguhnya adzab Allah azza wa jalla lebih pedih dan lama. Kalau engkau ingin agar Allah azza wa jalla mengampuninya, maka relakanlah anakmu Al-Qomah. Demi Dzat yang jiwaku berada ditangan-Nya, sholat, puasa, dan sedekahnya tidak akan memberinya manfaat sedikitpun selagi engkau masih marah kepadanya.” Lantas sang ibu ini berkata, ”Wahai Rasulullah, Allah azza wa jalla sebagai saksi, serta semua kaum muslimin yang hadir saat ini, bahwa saya telah ridho kepada anakku Al-Qomah.” 

Rasulullah pun berkata kepada Bilal Ra, ”Wahai Bilal, pergilah kepadanya dan lihatlah apakah Al-Qomah sudah bisa mengucapkan syahadat ataukah belum. Barangkali ibu Al-Qomah mengucapkan sesuatu yang bukan berasal dari hatinya, atau barangkali dia hanya malu kepadaku.” 

Bilal pun berangkat, dan ternyata dia mendengar Al-Qomah dari dalam rumah mengucapkan Laa Ilaha Illallah. Maka Bilal masuk dan berkata, ”Wahai sekalian manusia, sesungguhnya kemarahan ibu Al-Qomah telah menghalangi lisannya sehingga tidak bisa mengucapkan syahadat, dan ridhonya telah menjadikannya mampu mengucapkan.

Akhirnya Al-Qomah meninggal dunia saat itu juga. Kemudian Rasulullah Saw melihatnya dan memerintahkan agar dia dimandikan lalu dikafani, kemudian beliau mensholatinya dan menguburkannya, dan di dekat kuburan itu beliau bersabda, 

”Wahai sekalian kaum Muhajirin dan Anshor, barangsiapa yang melebihkan istrinya daripada ibunya, maka dia akan mendapatkan laknat dari Allah azza wa jalla, para malaikat, dan seluruh manusia. Allah azza wa jalla tidak akan menerima amalannya sedikitpun kecuali kalau dia mau bertaubat, dan berbuat baik kepada ibunya, serta meminta keridhoannya, karena ridho Allah azza wa jalla tergantung pada ridhonya dan kemarahan Allah azza wa jalla tergantung pada kemarahananya.”


Semoga kisah ini menjadi iktibar kepada kita. Kasih sayang seorang ibu tidak akan pernah tergantikan. Insyaallah jumpa lagi di lain entri.
Wassalam

Ahad, Mac 26, 2017

MANFAATKAN WAKTUMU

Setelah dua bulan lebih bersekolah bagi sesi persekolahan tahun 2017 ini, tidak terasa sudah tiba cuti pertengahan penggal satu tahun 2017. Aduhai..., begitu cepatnya waktu berlalu pergi meninggalkan kita. Siapa yang lalai  pasti akan ketinggalan dan ditinggalkan. Seandinya kita merasa akan hal demikian, maka kembali kita mengingati peringatan dari Sang Rasul yang pernah mengungkapkan dalam hadist baginda; 

Tidak akan tiba hari Kiamat hingga zaman berdekatan, setahun bagaikan sebulan, sebulan bagaikan seminggu, seminggu bagaikan sehari, sehari bagaikan sejam dan sejam bagaikan terbakarnya pelepah pohon kurma.” ( HR. Imam Ahmad – Musnad Imam Ahmad )

Inilah hakikat yang berlaku pada saat ini. Buahpun kadang seolah tidak bermusim. Dulu ketika zaman kami masih kecil, buah berbuah mengikut musim. Kalau musim durian, satu kampung akan ke hutan dan ke kebun mencari durian. Dulu kami bangun awal-awal pagi untuk mengutip durian yang jatuh ke tanah. Bila terdengar bunyi buah jatuh, “...gedebukkkk....“ maka semua akan berlari ke arah bunyi tersebut berebut  buah yang jatuh. Bila dah pegang buah tersebut maka teriak, “...aku dapat..., aku dapat...”. Dengan senyum bangga dan gembira, buah disimpan dan dibawa pulang. Haha..., kenangan dulu-dulu.

Siapapun pasti mengetahui, masa yang sudah berlalu tidak akan kembali lagi. Kalau batu yang kita lempar ke sungai barangkali masih ada kemungkinan untuk kita cari dan dapatkan kembali, tetapi tidak dengan masa. Kalaupun ada hari esok, namun besok adalah hari baru yang sama sekali berbeza dengan hari ini atau hari semalam. Oleh kerana itu, jangan sampai kita sia-siakan setiap detik dari masa kita. Lakukanlah yang bermanfaat dengan membaca, menalaah atau perbincangan yang bermanfaat dari sekedar berbual kosong, apalagi cerita yang berbaur dosa. Kesempatan cuti sekolah manfaatkan waktu bersama anak-anak dan keluarga kita sehingga menjadi waktu yang efektif dan mengukir nilai kenangan buat anak-anak.


Setelah kembang bagikan...
Pukul sampai kembang
Dah kembang
Seronok buat aiskrim...
Bagi pewarna dan perisa...
Seronoknya anak-anak...


Cuti sekolah kali ini kami sekeluarga tidak banyak berjalan. Disamping anak-anak disuruh menelaah buku pelajaran, berenang, beriadhah bersama, kami juga buat aktiviti membuat aiskrim sendiri di rumah. Resipi ini aku dapat di youtube. Terima kasih buat pembuat video yang mahu berkongsi, sungguh manfaatnya baik. Semoga dapat pahala.

Bahan-bahannya mudah seperti dibawah ini :


Bagi colour dan perasa... milo ka... 
  •  Susu cair 1 tin.
  • Susu pekat 1 tin.
  • Air 1 tin susu ( tapi aku tak suka air banyak – cukup setengah tin ).
  • Tepung jagung 1 sudu teh.
  • Ovalette 1 sudu the.
  • Pewarna dan perisa makanan yang dikehendaki ( seperti; milo/strawberry/banana/pandan ddl.)
  •  Vanilla.
  • Milo seckukupnya ikut selera.

Cara-cara membuat :

Masukkan dalam freezer...
  •  Masukkan susu cair dan susu pekat dan masak dalam waktu 5 menit.
  • Biarkan agak sejuk dan masukkan ovalette dan tepung jagung.
  • Pukul sehingga kembang ( kalau pakai mixer buat setting turbo ).
  • Kalau dah kembangkan bahagikan mengikut berapa warna kita mahu dan masukkan setiap bahagian mengikut perisa yang dikehendaki.
  • Masukkan dalam freezer dan setelah 5 jam dah buleh makan. 
  • Selamat mencuba ya.
Ini dah jadi

Kami dah cuba 2 kali alhamdulilah menjadi. Inilah antara aktiviti kami dengan anak-anak semasa cuti. Anak-anak masing-masing buat ikut warna dan perisa yang dikehendaki masing-masing. Ada perisa milo vanila dan strawberry. Semoga bermanfaat. Terima kasih.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...